Isu Matunggong: Alumni UMS tegur pendekatan konfrontasi, gesa mahasiswa berpaksikan adab dan fakta


KOTA KINABALU: Pertubuhan Jaringan Pemimpin Profesional (PRIDE) menegur pendekatan konfrontasi yang didakwa digunakan sekumpulan mahasiswa dalam isu komuniti di Matunggong dan menggesa golongan itu supaya lebih berpaksikan adab, fakta serta menghormati sensitiviti masyarakat setempat.

Jurucakap PRIDE, Rodiahtul Ardawiyah berkata, sebagai jaringan alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang pernah aktif dalam kepimpinan mahasiswa, pihaknya berpandangan latar belakang akademik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk bertindak tanpa mengambil kira keharmonian komuniti.

Menurutnya, Sabah mempunyai struktur adat dan komuniti yang perlu dihormati termasuk institusi Ketua Kampung, Ketua Anak Negeri dan Mahkamah Anak Negeri yang berperanan penting dalam menjaga kestabilan sosial serta menyelesaikan pertikaian berkaitan tanah dan adat.

“Mahasiswa perlu proaktif memperjuangkan isu rakyat dan membawa suara masyarakat, namun dalam masa sama tidak boleh mengabaikan sentimen penduduk setempat, nilai budaya komuniti serta tanggungjawab menjaga nama baik UMS sebagai pusat ilmu yang dihormati.

“PRIDE percaya mahasiswa harus menjadi jambatan penyelesaian melalui pendekatan diplomasi, fakta dan perbincangan berhemah, bukannya tindakan yang boleh mencetuskan persepsi negatif atau ketegangan di lapangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya memahami idealisme golongan muda dalam aktivisme kampus, namun pendekatan itu perlu diseimbangkan dengan adab, disiplin ilmu dan kefahaman terhadap realiti masyarakat setempat.

Katanya, kegagalan memahami perkara itu dikhuatiri boleh menjejaskan hubungan antara mahasiswa dan komuniti akar umbi.

“Sebagai alumni yang memahami dinamika aktivisme kampus, kami mengiktiraf idealisme anak muda.

“Namun idealisme tersebut perlu dipandu dengan hikmah dan tanggungjawab supaya tidak mencetuskan perpecahan atau salah faham dalam masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Rodiahtul turut menyeru semua pihak supaya tidak memperbesarkan isu berkenaan sehingga mencetuskan polarisasi atau kebencian.

Menurutnya, sebarang pertikaian berkaitan tanah dan komuniti perlu diselesaikan melalui saluran undang-undang, pentadbiran tanah dan mekanisme adat yang sah.

“Ilmu tanpa adab melahirkan keangkuhan, manakala kepimpinan tanpa hikmah hanya mencetuskan perpecahan,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama