2,425 liter petrol cuba diseludup ke negara jiran dirampas di Semporna

SEMPORNA: Cubaan menyeludup keluar 2,425 liter minyak petrol bersubsidi ke negara jiran gagal apabila Pasukan Polis Marin (PPM) menahan sebuah bot sarat dengan jeriken minyak di kawasan laut Terumbu Pasalat berhadapan Pulau Igang-Igang, di sini, semalam.

Rampasan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) itu kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna untuk tindakan lanjut.

KPDN Sabah dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 97 jeriken berisi petrol dipercayai cuba diseludup menggunakan sebuah bot kayu berwarna putih bersama enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda (HP).

Menurutnya, nilai rampasan barang kawalan dianggarkan RM9,869.75 manakala keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin dianggarkan bernilai RM19,275.

“Kes ini diterima daripada PPM Semporna semalam membabitkan rampasan tanpa tuan di kawasan laut Terumbu Pasalat berhadapan Pulau Igang-Igang.

“Semua minyak petrol yang dirampas dipercayai cuba dibawa keluar ke negara jiran menggunakan bot terbabit,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Katanya, satu kertas siasatan sudah dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut.

Menurut KPDN Sabah, pihaknya akan terus memperhebat penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi khususnya di daerah Semporna dan kawasan perairan sekitarnya.

“KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya mematuhi undang-undang ditetapkan.

“Jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Bagi syarikat pula, katanya, hukuman denda boleh mencecah RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama