1,000 penduduk bantah pembukaan jalan pintas di BSI

Penduduk BSI membuat bantahan aman berhubung pembukaan jalan pintas di kawasan perumahan berkenaan, pagi tadi. Foto | SS.



TAWAU: Kira-kira 1,000 penduduk Bandar Sri Indah, di sini, mengadakan bantahan aman hari ini bagi menolak cadangan pembukaan jalan pintas yang menghubungkan kawasan perumahan itu dengan beberapa taman berhampiran.


Penduduk yang berkumpul seawal jam 9 pagi di lokasi laluan berkenaan mendakwa pembukaan jalan alternatif itu boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman komuniti setempat.


Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Fasa 5 Bandar Sri Indah, Mohamad Rizuan Usnie berkata, bantahan itu dibuat susulan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang dipercayai menceroboh kawasan terbabit menggunakan jentolak tanpa kebenaran pihak pemaju.


Katanya, penduduk bimbang laluan itu akan menjadi jalan utama pengguna luar sehingga meningkatkan risiko kemalangan, kesesakan trafik dan pencemaran bunyi.


“Penduduk terutama ibu bapa juga risau soal keselamatan kanak-kanak selain kemungkinan peningkatan jenayah serta vandalisme jika laluan ini dibuka.


“Kami mahu kawasan perumahan ini kekal aman dan selamat seperti sebelum ini,” katanya ketika ditemui di lokasi bantahan, hari ini.


Sementara itu, wakil Hap Seng Properties Development Sdn Bhd, Johnsen Chong berkata, kawasan laluan yang menjadi pertikaian itu masih berada di bawah hak milik penuh syarikat pemaju walaupun terdapat dakwaan mengenai kewujudan rezab jalan.


Katanya, status tanah itu juga belum diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau ditukar hak milik.


“Selagi belum ditukar hak milik, ia masih berada di bawah kuasa pemaju termasuk soal sama ada laluan itu mahu dibuka atau sebaliknya,” katanya.


Beliau turut mengesahkan pihak pemaju akan membina semula pagar yang dipercayai dirosakkan menggunakan jentolak dalam kejadian petang semalam.


Bantahan berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal dengan kehadiran penduduk pelbagai lapisan usia selain dipantau anggota polis.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama