Tidak wujud naratif ‘Blok Borneo’ mahu mendominasi Persekutuan - Hajiji

Hajiji (tengah) ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran SENTOSA di Dewan Rafflesia, Politeknik KK, di sini. 

KOTA KINABALU: Dakwaan mengenai ‘Blok Borneo’ kononnya mendominasi Kerajaan Persekutuan perlu diperbetulkan kerana naratif tersebut tidak pernah wujud dalam kerangka pentadbiran negara, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Beliau berkata, Sabah kekal komited sebagai sebahagian daripada Malaysia dan menegaskan tiada konsep blok politik yang memisahkan Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Kita ini dalam satu negara. Tidak ada Blok Borneo. Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia semuanya berada dalam satu kerangka Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Bantuan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) 2026 yang bertempat di Politeknik Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajiji menegaskan naratif sedemikian tidak wajar dan perlu diperbetulkan agar tiada persepsi bahawa Sabah dan Sarawak terpisah daripada negeri-negeri lain di Semenanjung.

“Siapa yang wujudkan ‘Blok Borneo’? Naratif itu perlu diperbetulkan.

“Kita ini dalam satu negara dan perlu ada kerjasama semua pihak negeri dan persekutuan, untuk mencemerlangkan lagi negara kita, Malaysia ini,” jelasnya.

Terdahulu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Mohd Zaid Ibrahim mendakwa Sabah dan Sarawak kini berada pada kedudukan yang strategik untuk memberi pengaruh terhadap politik di Semenanjung melalui gagasan politik yang dikenali sebagai ‘Blok Borneo’. 

Menurutnya, usaha membentuk Blok Borneo bukan hanya untuk mewujudkan keseimbangan kuasa di Parlimen, malah bagi mengukuhkan kedudukan politik kedua-dua negeri itu dalam landskap politik negara bagi jangka masa panjang.

Katanya, melalui cadangan penambahan kerusi Parlimen serta kerjasama politik yang lebih tersusun antara parti-parti di Sabah dan Sarawak, Blok Borneo berpotensi menjadi penentu dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan pada masa hadapan.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama