![]() |
| Mustapha ketika berucap pada majlis Santai dan Sungkai bersama media Sabah yang bertempat di Dch Seafood, di sini, pada Sabtu. |
PUTATAN: Kerajaan MADANI mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak bagi melindungi rakyat daripada terkesan dengan ketidaktentuan ekonomi global susulan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata konflik yang melibatkan Iran di rantau tersebut lazimnya memberi kesan kepada pasaran tenaga global dan mempengaruhi harga minyak di peringkat antarabangsa.
“Sebagai negara pengeluar minyak melalui PETRONAS, Malaysia mungkin mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak, peningkatan kos dalam rantaian tenaga serta beban subsidi bahan api juga boleh memberi tekanan kepada ekonomi negara.
“Kerajaan MADANI bagaimanapun terus melindungi rakyat dengan mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter melalui pendekatan subsidi bersasar BUDI MADANI,” katanya ketika berucap pada Santai dan Sungkai bersama media Sabah, di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata, harga pasaran sebenar RON95 tanpa subsidi dianggarkan sekitar RM2.67 seliter, namun kerajaan menanggung perbezaan tersebut bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.
Mustapha menjelaskan bahawa kerajaan kini menanggung kira-kira RM3.2 bilion setiap bulan bagi subsidi petrol dan diesel, melibatkan sekitar RM2 bilion untuk RON95 dan RM1.2 bilion bagi diesel.
Katanya, langkah itu membuktikan komitmen besar kerajaan dalam memastikan rakyat terus dilindungi daripada kejutan ekonomi global.
“Langkah ini amat penting bagi melindungi kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan yang bergantung kepada pengangkutan darat dan laut untuk bekalan barangan,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa jika dibandingkan dengan negara jiran di ASEAN, Malaysia masih antara negara yang menawarkan harga petrol paling rendah.
“Di Thailand, harga petrol boleh mencecah sekitar RM4 seliter, di Indonesia sekitar RM3 hingga RM3.50 seliter, manakala di Singapura pula boleh melebihi RM8 hingga RM10 seliter,” katanya.
Sementara itu, beliau menyeru rakyat agar memahami realiti ekonomi semasa dan menggunakan subsidi dengan lebih berhemah.
“Dalam keadaan dunia yang tidak menentu, rakyat perlu kekal tenang, tidak terpengaruh dengan spekulasi dan terus bersatu sebagai rakyat Malaysia,” ujar beliau.
Tambah beliau, Kerajaan MADANI akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kestabilan ekonomi negara serta melindungi kebajikan rakyat dalam menghadapi cabaran global semasa.
