KOTA BELUD: Dua buah rumah musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Labuan, di sini, tengah malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elgie Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.03 tengah malam sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, jentera tiba di lokasi pada jam 12.11 tengah malam, kira-kira enam kilometer dari balai.
"Kebakaran melibatkan dua rumah jenis tidak kekal dan separuh kekal dengan keluasan 60 kaki x 40 kaki setiap satu.
“Kedua-dua rumah terbabit terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman berdepan cabaran apabila sumber air dari pili bomba berada pada jarak kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian.
“Pasukan bomba menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan air bagi mengawal dan memadam kebakaran.
“Jarak pili bomba yang jauh menyebabkan operasi pemadaman mengambil masa lebih lama,” katanya.
Elgie berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.53 pagi sebelum api dipadam sepenuhnya pada jam 4.23 pagi.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” katanya.

