Celcom Timur, SEDCO Serah Zakat Perniagaan RM1.86 Juta Kepada MUIS

KOTA KINABALU : Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menerima zakat perniagaan berjumlah RM1.86 Juta daripada Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO).

Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin berkata pungutan zakat daripada kedua-dua institusi itu bagi tahun 2025 menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

“Pada tahun 2025, Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1.1 juta berbanding RM1 juta pada tahun 2024.


“Manakala zakat yang diserahkan SEDCO pada tahun 2025 berjumlah RM760,000 berbanding RM370,000 pada tahun 2024,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman.

Penyerahan zakat tersebut disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu pada Khamis.


Menurut Yahya, peningkatan itu menunjukkan perkembangan positif dan MUIS mengalu-alukan semua pihak supaya menunaikan zakat bagi membantu golongan yang layak menerimanya.  


Hadir sama, Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Arifin Mohd Arif; Setiausaha MUIS, Datuk Ramlan Awang Ali; Pengarah Celcom Timur Sdn Bhd; Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk Ar. James Wong Kein Peng dan Timbalan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Azrul Ahmad.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama