Geran RM2.88 juta dipulangkan, kajian baharu jambatan Labuan siap November 2026

LABUAN: Perbadanan Labuan (PL) menjelaskan geran RM2.88 juta bagi kajian kebolehlaksanaan projek Jambatan Labuan–Menumbok dipulangkan semula susulan pembatalan projek itu sebelum ini.

Menurut kenyataan Perbadanan Labuan, pihaknya mengambil maklum laporan yang tular di media sosial berhubung Laporan Ketua Audit Negara 1/2026 yang menyatakan geran berkenaan dipulangkan dan kajian gagal dilaksanakan.

Katanya, perubahan dasar serta keutamaan Kerajaan Persekutuan Malaysia pada 2018 menyebabkan projek berkenaan dibatalkan, sekali gus kajian tidak dapat diteruskan.

“Peruntukan terbabit telah dipulangkan sepenuhnya kepada Kementerian Kewangan Malaysia pada 3 Oktober 2024 selaras dengan peraturan semasa,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, projek berkenaan kini menunjukkan perkembangan baharu apabila Kementerian Kerja Raya Malaysia memulakan semula Kajian Kebolehlaksanaan Pembinaan Jambatan Labuan-Sabah pada Mei 2025.

Menurutnya, kajian itu dijangka siap sepenuhnya pada November 2026.

Perbadanan Labuan memaklumkan langkah berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk menilai semula pelaksanaan projek infrastruktur strategik itu demi kepentingan rakyat Labuan dan Sabah.

Terdahulu, cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan dengan Menumbok sebelum ini dilihat mampu meningkatkan hubungan logistik, merancakkan ekonomi setempat serta memperkukuh jaringan pengangkutan antara kedua-dua wilayah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama