KOTA KINABALU: Sabah Law Society (SLS) menegaskan hak Sabah untuk menerima 40 peratus hasil bersih Persekutuan adalah ketetapan Perlembagaan yang tidak boleh diperkecilkan, dijadikan rundingan dasar atau diberi sebagai kelonggaran semata-mata.
Presidennya, Datuk Mohamed Nazim Maduarin, berkata pihaknya mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri bahawa Kerajaan Persekutuan bercadang memuktamadkan parameter teknikal bayaran tersebut menjelang pertengahan Januari 2026.
Bagaimanapun, Nazim menegaskan sebarang perincian mengenai metodologi, kuantum atau struktur pembayaran hanya berkaitan pelaksanaan dan tidak boleh menjejaskan hak Sabah yang termaktub sejak pembentukan Malaysia.
“Hak ini bukan geran ihsan. Ia wujud mengikut Perlembagaan dan tidak boleh dikurang, ditangguh atau ditafsir semula melalui rundingan pentadbiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menambah, meskipun perbincangan antara kerajaan Sabah dan Persekutuan mengenai fasa pelaksanaan atau mekanisme pentadbiran boleh diteruskan, asas undang-undang hak berkenaan tetap tidak berubah.
Nazim turut menegaskan bahawa prosiding rayuan di mahkamah berhubung tuntutan 40 peratus hasil itu masih berjalan dan tidak dipengaruhi oleh rundingan eksekutif.
“Prosiding ini bersifat institusi dan dilakukan demi kepentingan awam, bagi memastikan kepastian undang-undang, memelihara integriti Perlembagaan serta ketelusan terhadap hak Sabah,” katanya.
SLS menegaskan akan terus memantau perkembangan, memastikan Perlembagaan dipatuhi, kedaulatan undang-undang dijunjung, dan kedudukan Sabah dalam Persekutuan dihormati sepenuhnya.
