KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan tetap memberikan kepercayaan penuh untuk mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan asas di Sabah dengan memulakan pemantauan bermula Januari nanti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa langkah berkenaan diambil bagi memastikan rakyat negeri itu menerima layanan setara seperti negeri-negeri lain.
“Ketua Menteri menyebut beberapa isu dekat di hati rakyat.
“Bagi pihak saya, saya hanya boleh katakan bahawa kita telah meluluskan peruntukan yang besar untuk bekalan air, elektrik, jalan raya utama, jalan kampung, dan juga infrastruktur perbandaran serta pembinaan jalan di kawasan luar bandar.
“Saya rasa perkara ini penting. Ini juga sebabnya saya datang ke Sabah secepat mungkin selepas pilihan raya.
“Saya tidak mahu timbul anggapan bahawa janji orang politik hanya dibuat sebelum pilihan raya.
“Kalau projek sudah diluluskan, kita mahu lihat apa yang lambat.
“Mulai Januari, setiap projek di Sabah akan dipantau bersama kerajaan negeri. Kita mahu rakyat rasa hasilnya, bukan hanya mendengar janji,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sentuhan MADANI bersama rakyat negeri Sabah yang bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa (SICC), di sini, pada Sabtu.
Anwar turut menegaskan bahawa peruntukan pembangunan untuk Sabah yang akan disalurkan lebih awal itu bagi memudahkan perancangan dan pelaksanaan projek dimulakan lebih awal setiap tahun.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan persekutuan turut menambah dana pembayaran balik cukai bagi menyelesaikan aduan peniaga kecil dan sederhana.
“Sekarang ini, kerajaan telah pun memutuskan peruntukan RM2 bilion untuk mempercepatkan pembayaran balik kepada peniaga.
“Tetapi saya fikir, untuk disegerakan, RM2 bilion tidak mencukupi, lebih-lebih lagi bagi membantu peniaga kecil.
“Peniaga sudah tunaikan tanggungjawab mereka. Bila kerajaan berhutang kepada mereka, kita mesti bayar segera. Ini bukan soal politik, ini soal keadilan,”jelasnya.
Anwar menegaskan Sabah tidak pernah diabaikan, tetapi mengakui kelewatan pelaksanaan projek sering menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan Persekutuan.
“Kita boleh berbeza pendapat dalam banyak perkara, tetapi kalau sampai timbul rasa terabai atau merasakan kerajaan Persekutuan atau Semenanjung tidak mengambil kira, saya ingin beri jaminan bahawa anggapan itu tidak benar.
“Ia hanya dianggap benar kerana pelaksanaannya sebelum ini agak perlahan,” tambahnya.
