Pegawai, anggota PDRM bebas pilih calon – KPN

 

TAWAU: Pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bebas menentukan pilihan mereka pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah Ke-17 tanpa sebarang tekanan atau arahan daripada kepimpinan tertinggi pasukan itu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Haji Ismail menegaskan, penekanan beliau terhadap aspek kestabilan politik dan ekonomi dalam ucapannya sebelum ini bukanlah bermaksud mengarahkan warga PDRM menyokong mana-mana parti atau calon tertentu.

“Tidak. Kita percaya kestabilan itu penting, tetapi pilihan tetap di tangan pegawai dan anggota.

“Saya yakin mereka cukup matang dan bijak menggunakan hak masing-masing. Ia bukan arahan daripada saya atau sesiapa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Khas bersama warga PDRM sempena persiapan PRU DUN Sabah Ke-17 yang menghimpunkan lebih 600 pegawai dan anggota pelbagai batalion di sini, hari ini.

Mohd Khalid berkata, setiap anggota polis berhak membuat pilihan sendiri walaupun mereka terlibat dalam penugasan sepanjang musim pilihan raya.

“Ya, kebebasan memilih itu adalah hak masing-masing,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan persiapan PDRM menghadapi PRU DUN Sabah berada pada tahap sangat memuaskan, termasuk ketika proses penamaan calon yang berlangsung baru-baru ini.

“Alhamdulillah, semua berjalan baik. Penamaan calon di 25 pusat penamaan juga lancar tanpa sebarang insiden,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pengarah Cawangan Khas dan Ketua Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, yang menunjukkan komitmen tinggi memastikan kelancaran operasi keselamatan pilihan raya.

Menurutnya, sebanyak 9,200 pegawai dan anggota PDRM digerakkan di seluruh Sabah, termasuk bantuan kontinjen dari Semenanjung.

Mengulas mengenai keselamatan, Mohd Khalid berkata pihaknya mengenal pasti 15 kawasan hotspot berdasarkan rekod pilihan raya lepas, namun situasi setakat ini stabil.

“Tiada isu besar di Sabah Timur termasuk Tawau. Semua penugasan CID, Narkotik dan Cawangan Khas berjalan baik, dan individu berisiko turut dikenal pasti,” katanya.

Beliau juga menafikan wujud sebarang maklumat berkaitan dakwaan pengundi hantu atau kemasukan warga asing bagi tujuan mengundi.

“Setakat ini tiada maklumat atau laporan polis diterima. Saya percaya SPR mempunyai sistem kukuh untuk urus pilihan raya di Sabah,” katanya.

Mohd Khalid yakin PRU DUN Sabah Ke-17 akan berlangsung dengan aman sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing.

“Rakyat Sabah menunggu pilihan raya ini. Insya-Allah semuanya berjalan baik dan teratur,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama