KUALA PENYU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan bahawa Datuk Limus Jury akan mewakili gabungan politik yang diterajuinya sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu pada Pilihan Raya Umum (PRU) negeri akan datang.
Beliau menyatakan pengesahan itu sebagai menjawab pertanyaan mengenai calon yang akan mewakili GRS bagi kerusi di DUN Kuala Penyu.
“Saya sudah bagi bayangan (hint) tadi, sah (Limus Jury calon di Kuala Penyu).
“Jika kita menang nanti, Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 akan diteruskan bagi lima tahun lagi,”katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Pelancaran Buku Pelan Strategik bagi Kuala Penyu dan Menumbok, di sini, hari ini.
Hajiji turut memaklumkan bahawa pengumuman rasmi senarai penuh calon GRS akan dibuat pada 12 haribulan ini.
“Kita sudah tetapkan tarikh. Pada 12 hari bulan nanti, kita umum calon-calon GRS. Tiada calon ‘pinjam-pinjam’ dalam politik. Kita akan letakkan calon yang boleh menang dan kita yakin boleh menang dalam Pilihan Raya Umum akan datang,”ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Yayasan Limus Jury, Datuk Limus Jury berkata beliau menyambut baik watikah yang diberikan oleh Pengerusi GRS sebagai calon bagi kawasan berkenaan, namun masih menunggu pengumuman rasmi yang akan dibuat nanti.
“Pengesahan itu belum diumumkan dan saya belum mendapat watikah. Jika sudah diumumkan, maka saya akan menjadi wakil dan bertandinglah bagi calon GRS di Kuala Penyu,” jelasnya.
