PAPAR: Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, menggesa Parti Warisan (Warisan) berhenti menuding jari kepada pihak lain sedangkan masalah isu bekalan air di Sabah turut berpunca daripada kegagalan pentadbiran parti itu ketika berkuasa.
Beliau berkata, ketika parti itu menerajui kerajaan negeri antara 2018 hingga 2020, projek Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa 2 merupakan bukti kegagalan mereka memastikan projek itu berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Anda tuding jari menyalahkan orang lain, sedangkan pasukan anda juga pernah memegang kuasa.
“Mengapa gagal memastikan projek LRA Kogopon Fasa 2 siap pada 2022 seperti sepatutnya, supaya warga Papar bebas daripada isu air bermula 2023?.
“Apa pula peranan Ahli Parlimen Papar dari Warisan dalam tempoh 2018 hingga penghujung 2022 untuk memastikan isu NOC diselesaikan segera, sedangkan mereka mempunyai akses di peringkat Persekutuan?,”katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi video di laman Facebook rasminya.
Armizan menjelaskan bahawa punca utama kelewatan projek bekalan air itu adalah kegagalan menyelesaikan isu Notis Perubahan Kos (NOC) ketika tempoh pentadbiran Warisan, yang mengakibatkan projek berkenaan tidak dapat diteruskan seperti dirancang.
“Bila mana projek tertangguh hingga Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), bermula tahun 2021 (RMK-12), projek terpaksa dikaji semula. Projek berskala besar ini bernilai lebih RM300 juta,” katanya.
Menurutnya, sejak diamanahkan menjadi wakil rakyat Papar pada November 2022, fokus utamanya adalah mencari penyelesaian jangka panjang bagi memastikan penduduk tidak lagi terbeban dengan masalah catuan air.
“Sebagai wakil rakyat, menjadi tanggungjawab saya mencari ikhtiar menangani isu air yang telah membebani sebahagian warga Papar sekian lama,” ujarnya.
Beliau berkata, sejak Januari 2023 beliau bersama ADUN Kawang, Dato’ Sri Gulam Haidar Khan Bahadar, dan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim, berganding bahu memastikan isu itu diselesaikan segera.
“Jutaan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah atas komitmen dan peranan utama dalam mempercepatkan pelaksanaan projek tersebut.
“Alhamdulillah, hari ini dua projek solusi air Papar bukan hanya telah mendapat peruntukan, tetapi telah pun mula berjalan. Projek menaik taraf LRA Kogopon Fasa 2 (40 JLH kepada 80 JLH) dan Muka Sauk Kg. Kabang (9 JLH kepada 30 JLH),” jelasnya.
Dalam pada itu, Armizan mengingatkan bahawa isu air tidak seharusnya dijadikan modal politik oleh mana-mana pihak, sebaliknya perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama.
“Isu air bukan soal parti mana berkuasa. Ini soal tanggungjawab kita kepada rakyat. Sebab itu saya menyeru supaya semua pihak memberi kerjasama memastikan kelangsungan dan kestabilan pelaksanaan projek ini,” tambahnya.
