PUTATAN: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan UMNO telah lama memperjuangkan hak negeri Sabah sepanjang menerajui pentadbiran di peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri.
Susulan itu, beliau yang juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menggesa semua pimpinan di pelbagai peringkat dalam parti untuk menjadikan perkara ini bagi melawan naratif pihak lawan khususnya pembangkang.
"Ini perjuangan UMNO. Orang-orang UMNO inilah yang memperjuangkan kepentingan Sabah sebenarnya.
"Ketua Bahagian, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri, gunakan 'point' ini untuk memperbetulkan persepsi (dikalangan rakyat).
"Mereka (pembangkang) melontarkan kebencian dan fitnah kepada kita.
Padahal, kitalah berjuang. Kitalah yang berjuang untuk rakyat Sabah keseluruhannya tanpa mengira kaum dan keturunan.
"Itu sebabnya, kena menangkan semua calon-calon yang diletakkan oleh barisan nasional dalam pilihan rakyat yang akan datang. Kita akan bekerja walaupun tanpa dana," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Pemerkasaan Wanita MARA dan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani Peringkat Negeri Sabah bertempat di Hotel Putatan Platinum, di sini, pada Sabtu.
