KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa BN bukan berdiam diri dalam isu tuntutan 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah, sebaliknya menjadi pihak yang membuka jalan kepada kejayaan saman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS).
Bung berkata, kenyataan bahawa BN tidak bertindak dalam isu ini adalah tidak benar kerana bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mentadbir negara pada 2022 telah memberi ruang undang-undang yang membolehkan SLS membawa perkara itu ke mahkamah.
“Ada yang cakap Barisan Nasional berdiam diri. Mana ada berdiam diri. Saya sendiri membuat kenyataan, Datuk Salleh Said, Datuk Suhaimi Nasir juga buat kenyataan bahawa kita menyokong.
“Kalau tidak ada persetujuan antara kerajaan negeri dan Persekutuan, perlu ada penaksir bebas untuk tentukan berapa jumlah sebenar yang Sabah harus terima.
“Tapi kerajaan negeri tidak jawab. Jadi bukan BN tidak mahu bertindak, tetapi ada kekangan perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata, BN Sabah tidak mempunyai akses kepada agensi seperti Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menentukan jumlah sebenar hasil yang dikutip di negeri ini.
Namun, katanya, langkah Ismail Sabri membuka ruang undang-undang pada 2022 membolehkan SLS mencabar perkara itu di mahkamah adalah satu tindakan yang akhirnya membawa kemenangan kepada Sabah.
“Sebab itu SLS boleh masuk dan pergi ke mahkamah untuk membuat penyerahan. Dan menang hari ini bermakna BN telah bertindak bijak dengan membuka ruang kepada SLS untuk menyemak semula perjanjian tersebut,” katanya.
Justeru, beliau menggesa kerajaan Persekutuan tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Sabah.
“Kita mengalu-alukan keputusan ini dan BN Sabah akan terus memainkan peranan untuk memastikan rakyat Sabah menerima hak setimpal seperti termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.
Bung juga menegaskan, selepas pilihan raya akan datang, mana-mana kerajaan yang dibentuk perlu mengadakan rundingan dalam tempoh 90 hingga 180 hari bagi menentukan jumlah sebenar hasil 40 peratus itu. Sekiranya tiada persetujuan, penaksir bebas perlu dilantik.
“Kita tidak mahu isu ini terus digantung dan dijadikan modal politik. Ini bukan soal parti, ini soal hak rakyat Sabah,” tegasnya.
Mahkamah Tinggi semalam memutuskan bahawa Sabah berhak menerima 40 peratus hasil Persekutuan seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, sekali gus memberi kemenangan besar kepada negeri itu dalam tuntutan hak kewangan.
