480 individu bakal dibebaskan daripada kebankrapan melalui dasar peluang kedua

 

Tetamu kehormat bergambar bersama penduduk sekitar yang hadir.

KOTA KINABALU - Dianggarkan seramai 480 individu bakal dibebaskan daripada senarai bankrap pada tahun ini melalui Dasar Peluang Kedua di Sabah.

Dasar Peluang Kedua yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan menerusi Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) itu merupakan satu inisiatif bagi melepaskan mereka daripada kebankrapan melalui syarat-syarat tertentu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata pihaknya berharap seramai 200,000 orang akan dilepaskan daripada bankrap menjelang hujung tahun ini di seluruh Malaysia.

“Mengikut rekod MDI Sabah semenjak dasar ini diperkenalkan pada 2023, seramai 4,104 individu sudah dibebaskan dari bankrap setakat bulan Julai tahun 2025.

“Manakala menjelang akhir tahun ini, MDI Sabah dijangka akan membebaskan 480 orang lagi” katanya kepada media selepas merasmikan Program Justice on Wheel (JoW) di Dewan Serbaguna Damai.

Menurut beliau meskipun dibebaskan namun individu terbabit perlu mematuhi dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Mengulas lanjut berkenaan program, Kulasegaran berkata JoW merupakan merupakan satu program klinik guaman bergerak yang diselia oleh Jabatan Bantuan Guaman (JBG) dalam memberikan khidmat nasihat guaman.

“Inilah antara bukti-bukti kesungguhan Kerajaan Madani dalam membela nasib rakyat yang berada di pedalaman dan berpendapatan rendah untuk mendapatkan akses nasihat guaman agar keadilan yang saksama dapat diberikan.

“Pada tahun ini juga, JBG Sabah akan membuka dua cawangan baharu di Sandakan dan Tawau selain akan menerima sebuah van tambahan lagi” katanya.

Kulasegaran turut berkata melalui program ini juga JBG dapat memberikan sesuai dengan cogan kata JBG, iaitu “yang jauh didekati, yang sulit disantuni" selain mengajak agar ahli-ahli Sabah Law Society untuk bersama-sama membantu dalam menjayakan misi ini.

Setakat tahun ini JBG telah mengadakan JoW di tujuh lokasi berbeza antaranya Kampung Gas Batu Sapi, Dewan Masyarakat Tawau dan Dataran Bagandang Beaufort.

Antara yang turut hadir dalam majlis tersebut Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen P.172 Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin, Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Tan Lee Fatt serta Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman, Datuk Norazmi  Mohd Narawi.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama