![]() |
Azman Mangola, 36, dipenajara dua bulan dan denda RM5500 oleh Mahkamah Majistret Tawau, hari ini. Foto / Sayang Sabah. |
Tertuduh, Azman Mangola, 36, membuat pengakuan bersalah terhadap tiga pertuduhan membabitkan kesalahan tidak memiliki lesen memandu, kenderaan tanpa perlindungan insurans sah dan mempamerkan nombor pendaftaran palsu.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di Jalan Masjid, dekat pusat bandar Tawau, kira-kira jam 9.40 pagi pada 26 Jun tahun lalu.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara dua bulan bagi kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Bagi kesalahan memandu tanpa lesen di bawah Seksyen 26(1) akta sama, Azman dihukum penjara dua bulan, manakala untuk kesalahan tiada perlindungan insurans sah (Seksyen 90(1), dia dikenakan denda RM500 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda.
Mahkamah turut memerintahkan agar Azman hilang kelayakan untuk memohon lesen memandu selama 12 bulan bermula dari tarikh sabitan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintenden Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika membuat rayuan, Azman memohon agar hukuman diringankan dengan alasan hanya bergaji RM1,500 sebulan, selain menanggung isteri, seorang anak serta dua ibu bapa yang mengalami masalah kesihatan.
“Yang Arif, saya buat macam ni sebab kereta dah tertunggak bayaran lapan bulan. Saya takut bank tarik kereta… saya mengaku salah,” katanya sebak.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman berat kerana tertuduh didapati mempunyai 14 saman trafik terdahulu yang belum dijelaskan termasuk beberapa kesalahan yang berulang.
Joan berkata perbuatan menggunakan nombor pendaftaran palsu adalah serius dan boleh membuka ruang kepada pelbagai jenayah termasuk langgar lari, penyeludupan dan mengelak dikesan pihak berkuasa atau institusi kewangan.
“Tertuduh juga tidak mempunyai lesen memandu dan kenderaan tiada insurans menunjukkan sikap sambil lewa terhadap undang-undang dan keselamatan awam,” tegasnya.
Kes didengar di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.