Tak sempat seludup keluar 2kg syabu, lelaki warga Indonesia kena cekup

Jasmin (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas, susulan tangkapan suspek lelaki warga Indonesia, Jumaat lalu.

TAWAU : Tindakan pantas polis berjaya menggagalkan cubaan seorang lelaki warga Indonesia untuk menyeludup keluar lebih dua kilogram dadah jenis syabu dalam satu operasi di Jalan Pelabuhan, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 22 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan sambil membawa sebuah beg galas berwarna hitam bertulis Camel Mountain, kira-kira jam 9.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan ke atas beg itu menemukan dua bungkusan plastik berwarna kuning keemasan bertulis Guanyinwang dan Freeso Dried Durian yang mengandungi masing-masing satu paket lut sinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Anggaran keseluruhan berat dadah ialah 2,062 gram dengan nilai pasaran dianggarkan RM74,500,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jasmin berkata, suspek dipercayai menyusup masuk ke daerah ini melalui laluan tidak diwartakan (laluan tikus) pada 21 Julai lalu dan tangkapan dibuat hasil maklumat risikan yang dijalankan oleh pihak polis.

Beliau berkata, lelaki berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan ujian saringan air kencing terhadapnya didapati negatif dadah.

“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 2 Ogos depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tambah beliau, pihak polis sedang giat mengesan rangkaian sindiket pengedaran yang dipercayai terlibat dalam cubaan penyeludupan tersebut.

Sehubungan itu, Jasmin menggesa orang awam untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah bagi membantu pihak berkuasa membanteras jenayah yang kekal sebagai musuh utama negara.





Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama