SAIP bakal jadi hab industri mikroalga hijau di Sabah

 


KOTA KINABALU: Sabah Agro Industrial Precinct (SAIP) bakal dibangunkan sebagai hab industri mikroalga hijau yang berteknologi tinggi menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara SAIP dan CCE Power Holdings, hari ini. 

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan merangkap Pengerusi SAIP Sdn Bhd, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, langkah ini menandakan lembaran baharu buat SAIP menuju kearah yang lebih maju selepas 17 tahun ditubuhkan.

Katanya, ia kini disusun semula di bawah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO). 

 “SAIP akan diposisikan untuk menjadi peneraju dalam idea inovatif dan penyelesaian yang lebih kreatif untuk kita memacu pembangunan dan agenda hijau dalam negeri ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara SAIP Sdn Bhd dan CCE Power Holding Sdn Bhd bagi Projek Pembangunan Loji Janakuasa dan Penanaman Mikroalgae di Sabah Agro-Industrial Park bertempat di Hyatt Regency, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah dan Pengasas CCE Power Holdings Sdn Bhd, Tham Weng Kong, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Thomas Logijin serta Pengerusi SEDCO, Datuk Rubin Balang.

Menurutnya, kerajaan negeri telah memutuskan untuk memanfaatkan sepenuhnya tanah seluas 300 hingga  400 ekar di SAIP, Kimanis bagi pembangunan industri hiliran berasaskan mikroalga.

Katanya, ia merangkumi pengeluaran minyak mentah alga, biofuel, bioplastik dan bahan api penerbangan mampan (SAF).

Dalam pada itu, Jin Zhe turut menjelaskan bahawa projek ini akan menggunakan sistem tangki tertutup.

Mengulas lanjut, beliau berkata ia merupakan teknologi inovatif yang terbukti berkesan dalam penghasilan minyak mentah agroalga di loji pertama CCE Power di Semenyih.

“Apabila Encik Tham (Pengarah dan Pengasas CCE Power Holdings Sdn Bhd) datang dan bentangkan idea ini kami yakin kaedah baharu penanaman mikroalga ini bakal menjadikan Sabah sebagai hab industri alga terpenting.

“Inilah potensi sebenar industri mikroalga ini, kini, disebut sebagai agenda tenaga boleh diperbaharui seterusnya, bukan sahaja di Malaysia, tetapi seluruh dunia,” jelasnya. 

Sementara itu, beliau menambah bahawa projek ini turut mendapat sokongan syarikat teknologi dari Jepun yang sudah mula menjalin kerjasama dengan Sabah. 

“SAIP akan menjadi titik mula kepada industri baharu Sabah yang hijau, mampan dan menguntungkan,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama