RM42 juta bina semula SK Tambatuon siap dua tahun

 

Ewon (tengah) ketika Upacara Pecah Tanah Projek Pembinaan Semula Bangunan Daif SK Tambatuan.

KOTA BELUD : Sekolah Kebangsaan (SK) Tambatuon di sini bakal berwajah baharu apabila kerajaan melancarkan projek pembinaan bangunan bernilai RM42 juta yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata projek di bawah Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12 RP3) itu dilaksanakan bagi menggantikan bangunan lama yang sudah daif dan tidak lagi sesuai digunakan.

"Usaha ini mampu menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada murid-murid serta memberi manfaat kepada komuniti setempat.

“Saya berharap projek ini dapat disiapkan mengikut jadual agar penduduk kampung khususnya murid-murid di kawasan ini dapat menikmati kemudahan pendidikan yang lebih baik dan selamat,” katanya ketika ditemui media semasa Upacara Pecah Tanah Projek Pembinaan Semula Bangunan Daif SK Tambatuan, pada Jumaat.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Jurutera Bahagian JKR Kota Belud, Asnijah Sibin dan Guru Besar SK Tambatuan, Rosli Sidin.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Intervensi Penyelarasan Pemantauan Projek RMK-13, beliau bertanggungjawab memastikan kelancaran pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan di Sabah.

“Sebagai anggota kabinet Persekutuan dan wakil rakyat, menjadi tanggungjawab saya memastikan pembangunan berskala besar dapat terus dibawa ke kawasan luar bandar termasuk Kadamaian dalam tempoh RMK-13 bermula tahun depan sehingga 2030,” jelasnya.

Tambah beliau, Kementerian Pendidikan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Belud dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah turut diberi penghargaan atas kerjasama erat dalam menaik taraf sekolah daif di kawasan itu.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Perancangan), Ishak Mohd Yusof berkata bangunan baharu SK Tambatuan akan dilengkapi 10 bilik darjah, makmal sains, bilik Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), surau, kantin, blok pentadbiran, ruang terbuka berbumbung dan padang.

Katanya, selain SK Tambatuan beberapa sekolah lain di DUN Kadamaian turut menerima peruntukan di bawah RMK-12 antaranya SK Sayap, SK Tarintidon, SK Nahaba, SK Gensurai, SK Tengkurus, SK Taginambur, SK Tuguson dan SK Lasau Tintapon.

“Projek yang sedang dilaksanakan termasuk SK Kiau 1, SK Tamu Darat, SK Kaung, SK Kebayau, SK Mengkulat, SK Melangkap, SK Tambulian, SK Kelawat dan SK Tambatuon.

“Beberapa lagi projek kini dalam proses tender antaranya Blok Pentadbiran SK Taginambur, SK Dalas, tambahan bilik darjah SMK Narinang serta prasekolah SK Tampasuk I, SK Piasau dan SK Kinasaraban," ujar beliau.

SK Rangalau turut menerima peruntukan RM1 juta di bawah Projek Ubah Suai dan Naik Taraf (USNT) oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama