![]() |
| Kasim ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU: Jalan KK Bypass dari Bulatan Bunga Raya hingga ke Bulatan Costal antara jalan utama yang akan ditutup sementara selama lima jam mulai jam 6.30 pagi hingga 11.30 pagi, Jumaat ini (1 Ogos).
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata penutupan jalan tersebut bersempena dengan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2025 yang dijangka disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu.
Selain itu, Lampu Isyarat Dewan melibatkan laluan dari arah Bulatan Capital (Bandaran) ke Jalan Dewan Masyarakat juga ditutup sementara. Bagaimanapun katanya, laluan dari arah Bulatan Capital ke Bulatan Bunga Raya dibuka kepada pengguna jalan raya lain.
Dedah beliau, turut ditutup sementara ialah Jalan Dewan dari arah Pintu Gerbang Dirgahayu atau dari arah Padang Merdeka.
Selain penutupan Jalan di Jalan KK Bypass, jalan seperti Jalan Coastal juga akan diletakkan kekuatan trafik sepanjang program ini berlangsung bagi memastikan kelancaran lalu lintas di sekitar pusat bandar raya.
"Kita ada lebih kurang 150 orang. Anggota itu untuk keselamatan tetapi tidak termasuk lagi anggota lebih kurang 50 orang untuk tugas trafik di samping bantuan daripada JPJ, DBKK dan RELA," katanya kepada media selepas menjadi tetamu dalam Slot Temu Bual Bersama Sabah FM dengan penyampai, DJ Ramlah dan DJ Ozel di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan para pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri, ahli keluarga dan pengguna jalan raya yang lain.
Di samping meranang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan yang berlaku lebih-lebih lagi pada waktu puncak, para pengguna jalan raya juga disaran menggunakan aplikasi yang sedia ada seperti Waze atau Google Map bagi mengetahui panduan kesesakan lalu lintas di Bandaraya Kota Kinabalu.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
