KOTA KINABALU: Perjuangan membina masa depan Sabah tidak boleh diganggu oleh politik dendam dan hasutan pembangkang, kata Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Katanya, pembangkang hanya pandai menabur fitnah dan memutar belit fakta yang betul berkaitan pencapaian kerajaan yang ada demi meraih kuasa di negeri ini.
“Mereka ini tidak akan pernah menghargai pencapaian kita. Segala usaha kita akan dipandang sepi, malah dicemuh dan diperlekeh.
“Jika tidak cukup dengan tuduhan dan tohmahan, mereka akan guna jalan kotor seperti fitnah, dakyah palsu dan pembohongan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Menteri berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan parti itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Hajiji turut memberi amaran terhadap gerakan halus dan sulit yang bertujuan menjatuhkan kerajaan negeri Sabah yang kini dipimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang diterajuinya.
“Kita jaga rumah ini, GRS ini rumah kita. Kalau bukan kita yang jaga, siapa lagi? Rumah kita, kita jaga!”
“Inikalilah! The master is here, the master is not there!” katanya penuh semangat, membakar semangat perwakilan dan akar umbi parti.
Menurutnya, kejayaan GRS hari ini bukan hanya sekadar angka atau laporan, sebaliknya adalah hasil kerja keras pemimpin serta kesatuan yang dibina dalam rumah perjuangan itu.
Beliau turut menyeru semua ahli parti agar terus berwaspada dan mempertahankan kestabilan yang telah dicapai, serta tidak terpedaya dengan usaha pihak luar yang cuba menanam rasa sangsi dan melemahkan perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah.
