2 penggal cukup untuk Ketua Menteri – Masidi

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sebelum ini telah bersetuju agar jawatan Ketua Menteri dihadkan kepada dua penggal.

Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Seri Masidi Manjun berkata, cadangan itu bukan perkara baharu, malah sudah dipersetujui sejak tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri belum membawa usul tersebut ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kerana masih belum ada kepastian mengenai sokongan dua pertiga daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Sebenarnya kabinet sudah bersetuju sejak tahun lalu lagi untuk menghadkan jawatan Ketua Menteri kepada dua penggal. Cuma kita belum bawa ke DUN kerana tidak pasti ada sokongan dua pertiga.

"Tapi secara prinsip, semua bersetuju dan sepakat bahawa dua penggal itu ideal. Kita ambil iktibar daripada pengalaman lalu,” katanya.

Masidi berkata demikian ketika ditemui selepas Persidangan Agung Tahunan 2025 Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Katanya, keutamaan dalam berpolitik sepatutnya adalah untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat, bukannya sekadar mengejar kuasa atau kedudukan.

"Masalah kita sekarang terlalu banyak tumpu kepada politik kuasa. 

Sepatutnya kita gunakan politik sebagai alat untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat,"katanya lagi.

Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah sebelum ini lantang menyuarakan perlunya kestabilan politik jangka panjang di negeri ini bagi memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat tidak terganggu akibat pertukaran kerajaan yang kerap.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama