![]() |
| Foto ihsan Bomba |
PAPAR: Sebanyak 17 rumah separuh kekal dan tidak kekal musnah terbakar dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku di Skim Penempatan Kinarut, malam tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.22 malam sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi sejauh 18 kilometer.
"Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 11.38 malam, didapati kebakaran melibatkan kawasan seluas 200 x 200 kaki persegi.
"Keseluruhan struktur terbakar seratus peratus namun tiada mangsa tercedera dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi pemadaman menggunakan lima pancutan air termasuk satu aliran sepanjang 900 kaki dari water tanker BBP Kota Kinabalu serta bantuan tanker dari BBP Penampang dan Tuaran.
"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.25 tengah malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.06 pagi setelah memastikan tiada lagi ancaman bahaya di lokasi kejadian," ujarnya lagi.
