KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya akur dengan keputusan penggantungan keahliannya dalam UMNO setelah perkara itu disahkan sendiri oleh presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Shahelmey yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah itu berkata beliau memilih untuk menerima keputusan itu selepas kenyataan dibuat oleh Ahmad Zahid dalam lawatannya ke Sabah, baru-baru ini.
“Sebagaimana yang saya nyatakan selama ini, saya tidak pernah menerima surat penggantungan keahlian UMNO.
"Tapi apabila Yang Amat Berhormat Presiden Parti baru-baru ini dalam lawatan ke Sabah sudah menyatakan bahawa keahlian saya digantung, maka saya terimalah.
“Itu kenyataan daripada Presiden. Siapa lagi yang mahu menyanggah kenyataan daripada Presiden? Jadi saya terima kenyataan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penyempurnaan Majlis Penyerahan Lembu Korban Parlimen P.173 Putatan, disini, hari ini.
Dalam pada itu, Shahelmey turut berkata, sepanjang isu penggantungan itu dibangkitkan, beliau juga belum menerima sebarang bentuk makluman rasmi daripada parti sama ada dalam bentuk surat mahupun notis bertulis.
Sebaliknya, beliau hanya dimaklumkan melalui beberapa kenyataan yang dikeluarkan kepada media.
“Tidak pernah ada surat-menyurat dikeluarkan. Cuma kenyataan-kenyataan yang diberikan,” katanya lagi.
Tambahnya, sehingga kini beliau juga masih belum mengadakan sebarang pertemuan secara rasmi dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin bagi membincangkan perkara tersebut.