![]() |
Daisy (dua dari kanan) ketika menyampaikan cenderahati kepada Mary (tiga dari kiri). |
TUARAN: Sabah terus menerajui usaha pemeliharaan alam sekitar apabila menjadi antara negeri pertama di Malaysia yang membangunkan dasar pendidikan alam sekitar.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata, Dasar Pendidikan Alam Sekitar Sabah (SEEP) yang dilancarkan pada November 2009 menjadi platform penting dalam menyatukan pelbagai pihak dalam melaksanakan pendidikan alam sekitar secara menyeluruh dan berkesan.
“Alam sekitar sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri. Dasar ini melengkapkan pelaksanaan Dasar Alam Sekitar Negeri Sabah yang dilancarkan pada 2017 serta Enakmen Perlindungan Alam Sekitar 2002 yang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan Timbalan Setiausaha Tetap I KePKAS, Mary Isidore Malangking sempena Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2025, pada Khamis.
Katanya, pengiktirafan terhadap peranan alam sekitar sebagai elemen strategik dalam pembangunan negeri turut diterjemah menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Alam Sekitar Negeri Sabah 2019 secara berterusan oleh pelbagai agensi kerajaan.
“Pencapaian penting antaranya ialah program Sekolah Rakan Alam Sekitar (SERASI) yang bermula pada 2003 serta penubuhan Rangkaian Pendidikan Alam Sekitar Sabah (SEEN) pada 2005,” ujarnya.
Beliau berkata, kedua-dua inisiatif itu memberi impak besar dalam mempromosikan kelestarian alam sekitar serta menghimpunkan pelbagai pihak untuk melaksanakan program berimpak tinggi seperti persidangan negeri, latihan guru dan libat urus masyarakat.
Menurut Christina, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (EPD) turut memainkan peranan penting dalam memastikan dimensi alam sekitar diambil kira dalam perancangan dan pelaksanaan pembangunan serta penggunaan sumber asli secara lestari.
“EPD turut menyelaras usaha menangani isu alam sekitar menerusi pendekatan strategik dan bersepadu, selain memupuk rangkaian kerjasama antara jabatan serta perkongsian pintar,” tambahnya.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Daisy Aloysius; Pengurus Besar Shangri-La Rasa Ria Kota Kinabalu, Fiona Hagan; Pengarah Taman-Taman Sabah, Datuk Dr. Maklarin Lakim; dan Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)