Kereta rempuh sekatan jalan, lima PATI ditahan selepas dikejar 45km

Kenderaan  dinaiki 5 warga asing yang melanggar sekatan jalan raya sehingga dikejar polis sejauh 45 km sebelum berjaya ditahan di Batu 12 Jalan Apas, di sini, semalam. Foto | Ihsan PDRM.

TAWAU : Tindakan berani lima individu warga asing cuba meloloskan diri dari sekatan jalan raya dengan memecut laju kenderaan sejauh lebih 45 kilometer akhirnya memakan diri apabila mereka berjaya ditahan polis, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, sebuah kereta Proton Saga putih yang dipandu seorang lelaki bertindak melanggar sekatan jalan raya di kawasan Industri Megah, Jalan Tiku, di sini, sebelum dikejar oleh pasukan polis.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian bermula apabila kereta terbabit diarah berhenti oleh pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

“Namun pemandunya enggan berhenti dan terus memecut laju, memaksa anggota polis melancarkan operasi mengejar melibatkan beberapa laluan utama termasuk di Jalan Timur, Jalan Bunga Raya dan Jalan Chong Thien Vun,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Mengulas lanjut Jasmin berkata, kereta terbabit akhirbberjaya dipintas dan dihentikan di Batu 12, Jalan Apas selepas dikejar selama tempoh lebih 45 minit.



"Pemeriksaan mendapati lima individu berada dalam kenderaan itu termasuk pemandu lelaki serta empat penumpang masing-masing dua lelaki dan dua wanita berusia 29 hingga 43 tahun.

“Mereka juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah selain pemandu tidak memiliki lesen memandu dan kereta tersebut tiada cukai jalan,” katanya.

Beliau berkata, sesemua suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 kerana melarikan diri daripada sekatan jalan raya dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Mereka turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 26 dan 23 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa lesen serta kenderaan tanpa cukai jalan.

"Tiada kecederaan dilaporkan melibatkan suspek mahupun anggota polis dalam kejadian tersebut," ujarnya.

Sebelum ini, video kejadian itu tular di media sosial apabila orang ramai sempat merakam detik cemas polis mengejar kenderaan terbabit di beberapa laluan sekitar daerah Tawau.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama