Isu rasuah tidak boleh diselesaikan berdasarkan persepsi - PM Anwar

PMX sewaktu berucap di Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang, hari ini.

PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa isu rasuah di negara ini tidak boleh ditangani hanya melalui persepsi atau tuduhan tidak berasas.

Sebaliknya, katanya, pendekatan sistematik dan berlandaskan undang-undang adalah langkah utama bagi memastikan gejala itu benar-benar dapat dibanteras.

"Negara ini tidak akan selamat jika kita izinkan pemimpin mengaut kekayaan hasil negeri sesuka hati.

"Negeri boleh kaya, pemimpin boleh kaya, tetapi rakyat terus miskin jika isu rasuah tidak ditangani secara tuntas," katanya di Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang, hari ini.

Beliau turut menolak dakwaan kononnya kerajaan menutup kes-kes rasuah, terutama yang dibangkitkan di media sosial dan bandar-bandar besar.

Anwar turut menegur pendekatan segelintir pihak yang menggunakan fitnah dan maki hamun sebagai cara membanteras rasuah, yang menurutnya hanya menambah kekeliruan dalam masyarakat.

"Rasuah bukan boleh selesai dengan persepsi dan fitnah. Ia perlu ditangani melalui pendidikan, latihan nilai, tindakan perundangan yang tegas dan bukan sekadar video sekerat-sekerat di zaman AI ini," katanya lagi.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama