TAWAU: Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Sabah terus diberi perhatian apabila kerajaan negeri menyalurkan peruntukan sebanyak RM15 juta pada tahun ini untuk memperkukuhkan sektor berkenaan.
Menurut Pembantu Menteri Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, dana itu bertujuan membantu usahawan dari segi pembelian mesin, peralatan, usaha pendigitalan serta penambahbaikan aspek pembungkusan produk.
Katanya, kerajaan negeri komited menyalurkan bantuan saban tahun agar produk usahawan Sabah lebih kompetitif di pasaran.
“Selain itu, mereka digalakkan mendapatkan sijil halal, sijil MESTI dan pelbagai pensijilan lain untuk meningkatkan kualiti dan kebolehpercayaan produk mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Karnival Usahawan PMKS 2025 Zon Tawau semalam, yang merupakan lokasi pertama daripada empat siri karnival yang dirancang tahun ini sebelum diteruskan ke daerah lain.
Suryady turut menjelaskan, antara program menarik yang ditawarkan sempena karnival tersebut adalah sesi 'business matching', bagi membuka peluang kepada usahawan menempatkan produk mereka di pasar raya terpilih.
“Kita mahu produk tempatan bukan hanya dijual di kedai sendiri, tetapi dipasarkan lebih meluas ke seluruh negeri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menekankan kedudukan strategik Tawau dan Kalabakan yang berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia, membuka peluang eksport produk ke pasaran luar negara.
Menurutnya, jika produk kita bermutu dan berdaya saing, insya-Allah kita boleh tembus pasaran antarabangsa, terutamanya di negara jiran. Hubungan erat dengan usahawan Indonesia juga harus terus diperkasa.
“Saya menyeru agar usahawan PMKS lebih proaktif mengambil peluang mendapatkan bantuan, geran, latihan serta bimbingan yang disediakan oleh kerajaan demi memastikan pertumbuhan sektor keusahawanan terus kukuh di Sabah.
“Karnival ini adalah platform terbaik untuk usahawan memperkenalkan produk mereka, memperluaskan jaringan serta mencipta lebih banyak peluang perniagaan," katanya lagi.
Program Karnival Usahawan PMKS ini juga merupakan pemula kepada acara besar, Program MADANI Rakyat, yang akan berlangsung pada 11 Mei depan dan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.