Pemimpin UMNO Sabah berubah nada, kerjasama dengan GRS tidak mustahil

Suhaimi Nasir, Ketua Penerangan UMNO Sabah.


KOTA KINABALU: Kerjasama antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) disifatkan bukan sesuatu yang mustahil.

Memetik sumber Astro Awani, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata kestabilan politik hanya dapat dicapai sekiranya semua pihak mengambil bersikap terbuka dan sanggup mencari titik persefahaman bersama.

“Kalau nak capai kestabilan politik, gabungan ini tidak mustahil. Kita kena ada satu bentuk pemikiran yang terbuka,” katanya.

Sebelum Suhaimi, dilaporkan dua pemimpin UMNO Sabah juga turut menunjukkan kecenderungan sama mengenai perkara terbabit.

Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, dilihat sebagai antara yang awal menyokong idea penyatuan dengan GRS.

Beliau beberapa kali memberi isyarat terbuka termasuk menjemput Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ke Mesyuarat UMNO Bahagian Tuaran tahun lalu.

Dalam kenyataan sebelum ini, Rahman menegaskan bahawa politik Sabah memerlukan kematangan dan kesediaan untuk melangkaui konflik lama demi kestabilan masa depan.

Sementara itu, Bendahari UMNO Sabah yang juga bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyeru pendekatan politik lebih inklusif dibentuk menjelang PRN akan datang.

Salleh berpandangan perkongsian kuasa secara lebih menyeluruh perlu dipertimbangkan bagi memastikan pentadbiran yang stabil pasca pilihan raya.

Walau bagaimanapun,  pendirian ini berbeza dengan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang sebelum ini menolak sebarang kerjasama dengan GRS.

Dilaporkan juga, beliau berpegang kepada prinsip bahawa UMNO tidak wajar bekerjasama dengan pihak yang pernah mengkhianati mandat rakyat selepas Pilihan Raya ke 15 (PRU15) kelak.

Nada serupa pernah disuarakan Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffrey Nor Mohamed.

Jeffrey menyifatkan kerjasama dengan gabungan terbabit sebagai mustahil kerana pihaknya mendakwa pentadbiran Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor gagal menangani isu rakyat dan dibayangi masalah integriti.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama