KOTA KINABALU: Pemberi maklumat berkaitan dakwaan skandal rasuah berhubung isu pelesenan perlombongan mineral yang membabitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, Albert Tei dijadualkan beri keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jam 2 petang ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya juga akan meneliti beberapa video versi penuh tanpa suntingan yang didakwa telah diterima penasihat kumpulan hak asasi manusia atau dikenali sebagai Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya oleh pemberi maklumat Albert Tei.
Katanya lagi, semakan tersebut dilakukan untuk mengesahkan kredibiliti dan ketulenan video tersebut sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan.
“Saya tetap dengan kenyataan saya sebelum ini. Sejak tahun lalu, dan yang terkini pada 9 Disember 2024, saya telah menyatakan bahawa kami memerlukan bukti yang kukuh dan sahih.
“Hari ini (semalam) bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, mengeluarkan kenyataan bahawa seorang pemberi maklumat telah menyerahkan bukti video kepadanya, yang didakwa sebagai tulen.
“Kami telah memanggil peguam berkaitan ke pejabat kami hari ini untuk menyerahkan bukti video ini bagi siasatan lanjut. Selain itu, kami akan memanggil Albert Tei esok (hari ini) seperti yang disebut secara tidak langsung oleh Latheefa, untuk memberi keterangan dan membantu siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata proses siasatan berkaitan dakwaan itu tetap berjalan seperti biasa walaupun analisis forensik telah membuktikan klip video skandal rasuah melibatkan ADUN Sabah yang tular di laman media sosial mempunyai unsur suntingan dan tidak boleh digunakan dalam penyiasatan.
Susulan itu, beliau meminta agar semua pihak untuk bertenang sementara SPRM sedang melengkapkan proses siasatan berdasarkan keterangan diterima dan juga video yang didakwa tulen oleh pihak tertentu.
"Kami tidak pernah mengatakan kes itu ditutup. Disebabkan itu kami minta semua orang untuk bertenang. Semua orang mahu cepat perkara ini diselesaikan. Saya pun mahu cepat kes ini diselesaikan namun kita kena ikut dasar undang-undang," katanya
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita dalam satu sidang media selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Antara Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.
Turut hadir, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy dan Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Seri Dr Sabin Samitah.
Albert Tei dijadualkan akan memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada jam 2 petang, hari ini.
Disamping itu, Azam turut memaklumkan Albert sebelum ini telah dipanggil dan disoal siasat oleh pihaknya namun identitinya tidak pernah didedahkan.
“Mungkin sekarang peguamnya telah membenarkan identitinya didedahkan. Untuk rekod, Albert sudah disoal siasat dalam kes lain oleh SPRM dan polis.
"Tugas kami adalah menyiasat. Keputusan mengenai kesalahan seseorang ditentukan oleh Timbalan Pendakwa Raya. Mereka yang boleh membuat keputusan dan juga siapa yang dihukum atau tidak, ini bukan keputusan kami sebagai penyiasat.
"Jadi tidak boleh mana-mana pihak seolah-olah mengatakan kami yang membuat keputusan menuduh atau tidak menuduh, ia terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Jadi, mana-mana pihak yang merasakan dia perlu diberi perlindungan, saya tidak boleh memberi sebarang jaminan.
"Siasatan sedang dijalankan kepada semua pihak dan mana-mana yang didapati oleh Pegawai Pendakwa Raya mempunyai kes untuk dituduh di mahkamah, saya tidak adakuasa untuk melarangnya," katanya.
Azam pada itu juga berkata berkata pihaknya memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara adil dan profesional tanpa mengira latar belakang mana-mana individu.
Beliau juga menjelaskan bahawa kes tersebut masih memerlukan pihaknya untuk menjalankan siasatan berdasarkan undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) berikutan video yang telah disunting tidak boleh dijadikan bukti dan tiada kredibiliti.
“Kami merujuk perkara ini kepada pegawai perundangan SPRM dan pakar undang-undang yang berkelayakan. Siasatan kami berpandukan undang-undang, bukan persepsi awam.
“Selain itu, keputusan mahkamah terdahulu, termasuk Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Persekutuan, menjadi panduan dalam siasatan kami. Bagi video yang sebelum ini disiarkan oleh Malaysia Kini (portal media tempatan) kesemua lapan rakaman telah disunting.
"Mahkamah dan jabatan forensik kami yang diiktiraf oleh Jabatan Standard Malaysia (JSM) telah mengesahkan perkara ini. Video yang telah diubah suai tidak boleh diterima sebagai bukti sah.
“Jika ada pihak yang mempunyai panduan undang-undang tambahan, kami terbuka untuk mengkajinya. Namun, siasatan kami berpandukan prinsip perundangan, amalan standard, dan SOP.
"Sebarang bukti video baharu perlu disahkan ketulenannya sebelum boleh dipertimbangkan. Mahkamah tidak menerima rakaman yang telah disunting atau diubah sebagai bukti yang boleh diterima,” katanya.
Dalam pada itu, Azam turut memaklumkan pihaknya juga sedang menyiasat video tular di laman media sosial yang mengaitkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya, yang didakwa menerima bayaran RM350,000 berkaitan skandal yang sama.
Katanya, pihak perlu menganalis video terbabit terlebih dahulu bagi menentukan kesahihannya.