Masjid Bandaraya Kota Kinabalu serah surat pelantikan AJK baharu

Paiman Haji Karim (tengah), bersama pegawai-pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS). 

 

KOTA KINABALU: Masjid Bandaraya Kota Kinabalu selesai menyampaikan surat pelantikan kepada semua 13 Ahli Jawatankuasa (AJK) dan ketua-ketua Biro bagi sesi 2024-2026.   

Surat itu diberikan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.   

Majlis penyampaian surat pelantikan itu disempurnakan oleh Pengerusi Masjid Bandaraya, Datuk Paiman Haji Karim, yang mewakili pihak JHEAINS.

Paiman berkata, pelantikan itu bertujuan memperkukuh pentadbiran dan pengurusan masjid, sekali gus mempertingkatkan peranan institusi masjid sebagai pusat ibadah, pendidikan, serta pembangunan masyarakat Islam di Kota Kinabalu.

Beliau turut menekankan kepentingan amanah yang digalas oleh setiap AJK bagi memastikan pengurusan masjid berjalan lancar dan memberikan manfaat kepada jemaah serta masyarakat setempat. 

“Saya berharap semua AJK yang dilantik dapat melaksanakan tanggungjawab dengan dedikasi serta bekerjasama dalam memperkasakan program-program keagamaan dan kebajikan di masjid ini.

“Dengan pelantikan AJK baharu ini, Masjid Bandaraya Kota Kinabalu diharapkan akan terus menjadi institusi terunggul dalam menyatukan serta membimbing umat Islam ke arah pembangunan rohani dan sosial yang lebih cemerlang,” katanya.

Pada majlis itu, turut dibincangkan beberapa program utama bagi pengisian sepanjang bulan Ramadan yang bertujuan memperkayakan aktiviti ibadah dan kebajikan untuk para jemaah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama