PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan merangka penyelesaian jangka masa panjang dalam usaha memastikan kestabilan bekalan minyak masak kemasan botol di pasaran terutamanya dalam tempoh tiga bulan bermula Mac sehingga Mei ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata pengumuman pihaknya semalam berkaitan langkah intervensi untuk mempertimbangkan pemberian insentif khas kepada syarikat pembungkus minyak masak kemasan botol adalah merupakan penyelesaian jangka masa pendek segera.
Mengulas lanjut, tempoh tiga bulan ini iaitu bulan puasa kemudian disusuli dengan Hari Raya Aidilfitri seterusnya Pesta Kaamatan dan Pesta Gawai merupakan satu tempoh kritikal dimana permintaan minyak masak di pasaran agak tinggi.
"Jadi kita harus fikirkan juga apa jalan penyelesaian jangka masa panjang terlibat untuk mengimbangi diantara keperluan industri dan keperluan rakyat.
"Kita mensasarkan bahawa dalam tempoh tiga bulan ini, walaupun dijangka selepas Aidilfitri nanti, harga minyak sawit mentah dunia (CPO) akan menurun tetapi (kini) masih juga tinggi. Syarikat-syarikat akan berhadapan dengan kos pengeluaran tinggi.
"Jadi, tiga bulan ini adalah tempoh yang kritikal iaitu adanya bulan Ramadan, Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Pesta Gawai. Jadi kita mahu tiga bulan ini tidak ada isu dengan kita memberi insentif kepada syarikat-syarikat supaya dapat membantu mereka mengeluarkan minyak masak kemasan botol berdasarkan keperluan biasa rakyat.
"Dalam tempoh tiga bulan ini juga, KPDN, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah diminta oleh Perdana Menteri untuk merumuskan apa penyelesaian jangka masa panjang untuk kita selesaikan isu keperluan minyak kemasan botol," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Servis Ihsan Madani @ Petronas Autoexpert (SIM@PAX) Hari Raya Aidilfitri Serta Ikhlas Ramadan Bersama Gas Petronas bertempat di Dewan Terbuka Tapak Tamu Mingguan Papar, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Armizan turut berkata susulan pihaknya semalam, beliau berharap tidak ada sebarang gangguan kestabilan bekalan minyak masak kemasan botol di pasaran.