Jom Masuk U 2025 pada 10 hingga 11 Mei Ini

Hafizi (kiri) ketika menyerahkan cendera kenangan kepada Jainisah (kanan) - ihsan Jabatan Penerangan Sabah


KOTA KINABALU: Program Jom Masuk U 2025 akan diadakan  bertempat di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 10 dan 11 Mei ini. 

Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Mohamad Hafizi Rosli berkata program anjuran KPT bagi Zon Sabah II itu bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar lepasan SPM berkenaan maklumat pengajian di peringkat tertinggi.

"Pada ketika ini dari segi statistik kita dapat lihat mungkin sedikit penurunan dari segi jumlah pelajar yang masuk ke universiti, jadi kami membuat jerayawara ini untuk menerangkan kepada mereka dan memberi maklumat untuk mengetahui kursus ataupun bidang-bidang yang mereka boleh mohon selepas mendapat keputusan SPM.

"Di samping itu, sebanyak 20 universiti awam yang akan terlibat dalam program ini dan kita bawakan juga Politeknik dan Komuniti Kolej.

"Turut bersama adalah Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta termasuk Universiti Limkokwing serta Universiti Taylor yang akan memberikan pencerahan kepada pelajar-pelajar berkenaan kursus dan bidang-bidang dengan kelayakan mereka.

"Oleh itu, kami juga mohon bantuan daripada Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah untuk menghebahkan di peringkat lokaliti dan membuat hebahan lebih meluas untuk mengajak orang ramai hadir bersama-sama dalam program ini.

"Kami mengharapkan jumlah pengunjung yang hadir ialah lebih 50,000 ribu orang bagi program ini yang diadakan selama dua hari iaitu pada Sabtu dan Ahad bermula 9 pagi hingga 6 petang," katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, pada Jumaat.

Hafizi turut menjelaskan kunjungan tersebut bertujuan untuk mengadakan kerjasama strategik bersama JAPEN Sabah dalam acara dan program kementerian yang akan dianjurkan di Sabah.

"Jadi kami telah pun dapat persetujuan daripada JAPEN untuk mengadakan usaha sama termasuklah bagi pengurusan media dan jemputan media.

"Selain itu, peringkat kementerian akan mengadakan program berbuka puasa bersama rakan media yang akan turut bersama ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi bagi menyantuni media dalam mengeratkan lagi hubungan antara KPT bersama JAPEN dan rakan media," ujar beliau.

Hadir sama dalam sesi kunjungan tersebut Ketua Seksyen dan Khidmat Pelanggan Eparizan Mansor, Pegawai Perhubungan Awam KPT Nur Fyrent Junaideh serta pegawai-pegawai kanan JAPEN Sabah.


( JABATAN PENERANGAN SABAH )



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama