JIM Sabah serbu pusat hiburan, 21 warga asing ditahan

Foto ihsan: JIM Sabah.


KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berjaya menahan 21 individu warga asing dalam serbuan di dua pusat hiburan di daerah ini dan Penampang, pada Ahad.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, Ops Gegar yang bermula sekitar jam 12.00 tengah malam itu menahan warganegara asing dari Vietnam, Indonesia dan Filipina berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.

Katanya, operasi yang melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Imigresen Negeri Sabah diadakan berdasarkan aduan dan risikan yang dijalankan selama tiga minggu. 

“Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pasukan operasi telah bergerak ke 2 buah premis yang terdiri daripada premis pusat hiburan dan premis kelab malam (pub). 

“Di lokasi pertama, pemeriksaan ke atas premis tersebut telah membawa kepada penahanan 7 orang warga asing, yang terdiri daripada 1 lelaki dewasa warganegara Filipina dan 6 perempuan dewasa warganegara Vietnam.

“Di lokasi kedua, tangkapan melibatkan 14 individu, terdiri daripada dua lelaki dewasa dan lima perempuan dewasa warganegara Filipina serta lima lelaki dewasa dan dua perempuan dewasa warganegara Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam. 

Turut dirampas beberapa barangan seperti lesen perniagaan, wang tunai berjumlah RM3,957, dokumen perjanjian sewaan premis, dan dua buku catatan.

Menurutnya, kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut. 

Semua individu ditahan atas salah guna pas di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, tiada dokumen pengenalan diri (Seksyen 6(1)(c)), dan tinggal lebih masa (Seksyen 15(1)(c)) di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Sitti Saleha turut menjelaskan bahawa setakat ini, Jabatan Imigresen Malaysia telah memeriksa seramai 8,134 individu, membuat 1,271 tangkapan, dan memindahkan 2,472 PATI ke negara asal mereka.

“JIM Sabah akan terus memainkan peranan dalam menjamin kedaulatan dan keselamatan negara dengan memastikan hanya individu yang mematuhi undang-undang imigresen dibenarkan bekerja dan menetap di Malaysia,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama