Nasib 13 pelajar Kolej Vokasional diketahui 28 Februari

Nasib 13 pelajar Kolej Vokasional LD sama ada dibebaskan atau diperintah membela diri akan diketahui 28 Februari ini.


TAWAU : Nasib 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun yang dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu, pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac lalu, bakal diketahui 28 Februari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Duncan Sikodol menetapkan tarikh itu untuk keputusan sama ada 13 remaja itu dibebas atau diperintah membela diri pada prosiding semakan status hujahan kesemua pihak yang dijalankan secara zoom, pagi ini.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memfailkan hujahan pada 24 dan 28 Januari lalu.

Beliau bagaimanapun memohon satu tarikh baharu untuk pihaknya memfailkan hujahan balas berikutan terdapat beberapa peguambela yang mewakili tertuduh memfailkan hujahan lewat.

Berikutan itu, mahkamah turut mengarahkan pihak pembelaan supaya menyediakan pernyataan saksi anak guam masing-masing pada pada tarikh berkenaan.

Pada 9 Disember lalu, pendakwaan menutup kes mereka selepas 25 saksi selesai memberi keterangan dalam perbicaraan perbicaraan penuh kes itu bermula 19 November lalu.

Semua 13 pelajar berusia antara 16 hingga 19 tahun itu pada 13 Ogos 2024, dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, atas pertuduhan membunuh Mohamad Nazmie di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac 2024.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.





Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama