Kes bunuh pelajar Kolej Vokasional LD, 13 remaja diperintah bela diri

13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu, pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac lalu.


TAWAU : Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu, Mac tahun lalu.

Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie di akhir kes mereka.

“Mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap semua tertuduh di bawah Seksyen 302 dan memanggil kesemua tertuduh untuk membela diri,” katanya.

Mahkamah memberi tiga pilihan kepada semua tertuduh iaitu yang pertama memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dan kemudian disoal balas oleh pihak pendakwaan.

Manakala pilihan kedua ialah memberi keterangan secara tidak bersumpah di kandang tertuduh tanpa disoal balas oleh pihak pembelaan atau ketiga, berdiam diri.

Mahkamah turut membenarkan permohonan peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin supaya diberikan penangguhan kepada semua peguambela-peguambela membuat persediaan pembelaan.

Duncan kemudiannya menetapkan prosiding bela diri itu pada 10 hingga 14 Mac ini.

Perbicaraan penuh kes itu bermula 19 November tahun lalu dan antara saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah pengarah dan warden kolej selain sepuluh pelajar (saksi mata) yang juga rakan sebilik mangsa serta penghuni asrama kolej terbabit.

Selain itu, turut dipanggil pakar patologi, pakar kimia, pakar forensik dan pegawai polis pada prosiding yang mengambil masa selama 12 hari.

Pada 13 Ogos lalu, semua 13 pelajar itu dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, atas pertuduhan membunuh Mohamad Nazmie di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abd Latif bersama TPR Ng Juhn Tao, dan TPR Batrisyia Mohd Khusri.

Manakala, lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh dan Chen Wen Jye, sementara lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika termasuk peguam lantikan, Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama