IPD Nabawan, Kalabakan dijangka siap tahun 2029

Jauteh (empat dari kiri) menyerahkan cenderamata kepada Tun Musa (tiga dari kanan) - ihsan Jabatan Penerangan Sabah


KOTA KINABALU: Dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baharu kini sedang dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2029.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, dua IPD berkenaan masing-masing di daerah Nabawan dan Kalabakan.

"Dengan wujudnya dua IPD ini merupakan sesuatu yang amat penting sebab kedua-dua IPD ini akan berada kawasan persempadanan kita dengan negara-negara jiran.

"Ini sudah tentu akan memberikan kita kelebihan dari segi kekuatan manpower di kawasan berkenaan dan kita mampu untuk memberikan respon yang segera berkaitan dengan beberapa isu-isu di sempadan yang melibatkan warga daripada negara jiran.

"Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman berharap agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sabah ini mengambil beberapa tindakan drastik dan juga berkekalan dan agresif terutama sekali kes-kes berkaitan dengan dadah," katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Tun Musa dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.

Menurut Jauteh, kunjungan berkenaan bertujuan untuk memberikan penerangan secara ringkas kepada Tun Musa berkenaan beberapa perancangan PDRM dalam usaha memperkasakan persempadanan negeri dan aktiviti-aktiviti PDRM yang lain untuk memberikan gambaran terkini berkaitan Negeri Sabah.

Turut hadir, Komander Briged Sabah PGA, Datuk Abdul Rani Alias, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Mohd Azhar Hamin dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Azmi Abdul Rahim.

( JABATAN PENERANGAN SABAH )







Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama