Dua cedera dua lori bertembung di Lahad Datu


LAHAD DATU: Dua cedera selepas lori yang dinaiki bertembung dengan sebuah lagi lori 10 tan di simpang SK Bukit Balacon Jalan Sandakan - Lahad Datu, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, seorang lelaki pemandu lori 5 tan bersama penumpangnya wanita, masing masing berusia 31 tahun di dapati mengalami kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.42 pagi.

Katanya, seramai lima anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat.

"Setibanya di lokasi mendapati kemalangan tersebut membabitkan dua buah lori telah bertembung.

"Dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang cedera itu kemudian dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Pemandu lori 10 tan berusia 44 tahun terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Setelah memastikan tiada bahaya lain wujud, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 7.24 pagi" katanya.




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama