![]() |
Katherine (enam dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Tun Musa di Istana Seri Kinabalu - ihsan Jabatan Penerangan Sabah. |
KOTA KINABALU: Masyarakat digesa agar terus memberikan peluang kepada bekas banduan bagi membolehkan golongan itu menjalani kehidupan yang lebih baik.
Pengerusi Lembaga Hakim Pelawat Penjara Sabah, Datuk Katherine M.O. Lee berkata isu penempatan pekerjaan bagi bekas penghuni penjara khususnya mereka yang dibebaskan di bawah Seksyen 43 Akta Penjara masih menjadi cabaran besar kerana stigma jenayah yang pernah dilakukan.
"Kami melihat ramai yang dibebaskan lebih awal di bawah Seksyen 43, namun mereka menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan, tempat tinggal dan menyesuaikan semula diri dalam komuniti.
"Malah, ada aduan yang mereka ditolak oleh keluarga sendiri menyebabkan mereka tertekan dan tiada arah tuju untuk meneruskan kehidupan," jelasnya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Menurut Katherine, sektor kerajaan dan swasta juga perlu memainkan peranan lebih besar dalam memberikan peluang pekerjaan kepada golongan tersebut untuk memastikan mereka tidak kembali melakukan jenayah seterusnya menjadi penghuni penjara semula.
"Kita mahu mereka menjadi anggota masyarakat yang produktif dan jika mereka diberi peluang, mereka boleh berubah dan menyumbang kepada negeri, keluarga serta komuniti," jelasnya.
Selain itu, beliau turut berkongsi pandangan agar pihak berwajib untuk mencontohi kejayaan program banduan di Singapura yang memberikan insentif kepada majikan untuk menggaji bekas banduan.
"Di sana, kerajaan menawarkan subsidi gaji dan insentif kepada majikan sebagai galakan untuk mengambil bekas banduan bekerja.
"Ia terbukti berjaya, dan kami berharap model seperti ini dapat dipertimbangkan di Sabah," ujarnya.
Hadir sama dalam kunjungan tersebut ialah Ahli-ahli Lembaga Hakim Pelawat Penjara Sabah, Dr Christopher Chu, Datuk Wahab Sulaiman, Datuk Chew Kok Woh, Jiniti Baku, John Ho Nyuk Lin dan Sarnoh Lasoh.
( JABATAN PENERANGAN SABAH )