PENAMPANG: Bank Rakyat terus membuktikan komitmennya dalam membantu pelajar daripada keluarga B40 melalui Program Jalinan Madani Kembali Ke Sekolah di SMK Limbanak Penampang, pada Sabtu.
Pada program kali ini, sumbangan bernilai RM144,000 telah disalurkan kepada 1,440 pelajar dari 72 sekolah di daerah Kota Belud dan Penampang.
Selain itu, sebanyak 460 unit komputer yang dibaik pulih turut disumbangkan kepada 55 sekolah di kedua-dua daerah tersebut.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menjelaskan bahawa inisiatif ini merupakan sebahagian daripada program berterusan Bank Rakyat melalui Yayasan Bank Rakyat, yang telah dimulakan sejak tahun 2023.
“Kita berkesempatan melaksanakan Program Jalinan Madani Kembali Ke Sekolah Bank Rakyat dengan menyampaikan sumbangan sebanyak RM144,000 kepada 1,440 pelajar daripada keluarga B40 di 72 sekolah di Kota Belud dan Penampang.
"Selain itu, Bank Rakyat juga menyalurkan 460 unit komputer yang dibaik pulih kepada 55 sekolah di kedua-dua daerah ini,” jelas Ewon semasa ditemu bual di Program Jangkauan Komuniti Madani Bank Rakyat Kembali Ke Sekolah di SMK Limbanak, Penampang.
Program ini turut menyediakan bantuan tahunan kepada sekolah-sekolah terpilih, setiap sekolah rendah akan menerima RM5,000, manakala sekolah menengah akan mendapat RM10,000.
Bagi sekolah yang mempunyai program pendidikan khas, tambahan RM10,000 akan disalurkan sebagai sokongan tambahan.
“Bantuan ini adalah acara tahunan di Kedamaian dan Penampang. Ia telah dilaksanakan sejak 2023 dan akan diteruskan pada tahun ini.
"Ini adalah sebahagian daripada komitmen Bank Rakyat untuk memastikan pelajar-pelajar di kawasan luar bandar mendapat akses kepada pendidikan yang lebih baik,” tambah Ewon.
Menurut Ewon, program serupa telah diadakan di Sarawak dan Semenanjung Malaysia pada minggu yang sama.
"Awal minggu ini, kita berada di Sarawak untuk program yang sama, dan Bank Rakyat juga melaksanakan banyak program kembali ke sekolah di Semenanjung Malaysia," ujar Ewon.
Inisiatif Bank Rakyat ini diharap dapat membantu meningkatkan kualiti pendidikan, terutama bagi pelajar daripada keluarga B40, serta menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih baik melalui sumbangan komputer.