![]() |
Arifin ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di IPD Kota Kinabalu, hari ini. |
KOTA KINABALU: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif menafikan dakwaan beliau menawarkan penyelesaian untuk 'menutup mulut' kepada individu yang mendedahkan siri video mengaitkan skandal rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Beliau yang juga merupakan ADUN Membakut itu turut menyifatkan dakwaan yang disiarkan oleh portal berita Malaysiakini pada Isnin lepas itu adalah berniat jahat.
"Saya ingin menyatakan bahawa laporan media tersebut adalah satu laporan yang berniat jahat kerana mengandungi dakwaan tidak tepat, mengelirukan dan juga mengandungi fakta palsu serta memfitnah.
"Laporan media tersebut jelas membuktikan bahawa individu tersebut dengan kumpulan kartelnya akan menggunakan segala helah dan tipu daya untuk mendapatkan lesen perlombongan termasuk memfitnah saya dan individu lain.
"Ini juga membuktikan motif utama kumpulan kartel tersebut di dalam mengeluarkan serta menyebarkan berita dan fakta palsu adalah untuk memonopoli lesen perlombongan di Sabah.
"Pada bila-bila masa Malaysiakini tidak pernah menghubungi saya untuk mendapatkan pengesahan berhubung dengan perkara ini sebelum disiarkan.
"Oleh yang demikian, saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang memfitnah dan bersekongkol dengan kumpulan kartel ini yang cuba memonopoli lesen perlombongan di Sabah. Itu saja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di IPD Kota Kinabalu, hari ini.
Dalam pada itu, Arifin turut berkata beliau juga telah menyerahkan perkara terbabit kepada peguamnya untuk tindakan selanjutnya.
"Saya serahkan dengan peguam saya nanti. Perinciannya pun akan dilaksanakan melalui peguam yang saya lantik.
"Selepas ini saya tidak akan komen. Nanti selepas ini perinciannya akan dibuat melalui peguam saya," katanya.