Seorang maut, empat parah nahas jalan raya

  


LAHAD DATU: Seorang lelaki maut, manakala empat lagi parah dalam nahas jalan raya di Jalan Pantai, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 pagi itu, mangsa berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.30 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama dua jentera ditugaskan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan itu membabit sebuah kereta Perodua Viva telah bertembung dengan Toyota Hilux Revo.

“Terdapat lima mangsa berada di dalam kereta Perodua Viva berkenaan dan seorang daripadanya telah tersepit,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

“Empat lagi mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital menaiki jentera EMRS dan ambulan KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Pemandu Toyota Hilux Revo yang terbabit dalam kemalangan itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sumsoa berkata, mangsa yang meninggal dunia dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

“Setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.51 pagi,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama