KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan membuat siasatan mengenai video tular dimana seorang kakitangan masjid di bandaraya yang didakwa menghalang pelancong asing mengambil gambar sekitar masjid tersebut sebelum bayaran dibuat.
Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah merangkap Exco Pendidikan dan Agama, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata beliau akan mendapatkan maklumat terperinci mengenai isu itu.
"Nanti saya periksa. Tanggungjawab kita sebagai ahli jawatan kuasa masjid, atau siapa sahaja yang berada di masjid, kita mesti menjaga adab dan mengalu-alukan sesiapa saja. Sama ada jemaah atau pelancong pun, kita perlu menyantuni mereka dengan baik.
"Sepatutnya tidak boleh berlaku, kerana di mana pun jawatan kuasa kita, atau siapa pun mesti dilayan dengan baik. Itu adat dan adab kita di mana pun kita berada.
"Bukan sahaja di masjid, di luar masjid pun, kita mesti mempunyai tata cara, atau tata susila, seperti mana yang diajarkan oleh agama kita berhubung dengan adab.
"Tapi dalam kes ini, saya akan dapatkan maklumat dulu daripada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS). Saya akan bagi maklumat seterusnya kepada semua kawan-kawan (pengamal media)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Kepimpinan Pendidikan Negeri bertempat di Dewan Sekolah Menengah (SM) Kian Kok, di sini, hari ini.
Baru-baru ini, satu video telah tular dimana sekumpulan pelancong China dihalang untuk mengambil gambar di sekitar dan luar masjid oleh seorang lelaki yang didakwa merupakan kakitangan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.
Video terbabit telah dimuat naik dalam aplikasi media sosial Red Not yang digunakan di negara China.