Sabah sambut baik sasaran 5 Juta penumpang AirAsia

Christina Liew pada majlis makan tengah hari sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 di Kota Kinabalu. 


KOTA KINABALU- Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia yang menyasarkan menerbangkan sebanyak 5 juta penumpang ke Sabah pada tahun ini merupakan satu langkah yang bukan sahaja meningkatkan ketibaan pelancong tetapi juga memberi lonjakan kepada sektor ekonomi negeri.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew Chin Jin, berkata sasaran ini seiring dengan matlamat kerajaan negeri untuk menarik 3.5 juta pelancong menjelang tahun 2025.

Menurut beliau, berdasarkan tinjauan pasaran yang dilakukan oleh AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah itu yakin dengan potensi Sabah sebagai destinasi utama pelancongan. AirAsia juga menyatakan komitmen penuh untuk merealisasikan sasaran ini.

"Sasaran kami adalah sebanyak 3.5 juta ketibaan, tetapi selepas tinjauan AirAsia di pasaran, mereka yakin bahawa sasaran ini dapat dicapai.

"Kami sangat mengalu-alukan perkara ini kerana bukan sahaja membawa masuk pelancong tetapi juga mempromosikan kemajuan ekonomi untuk Sabah. Semua sektor, termasuk hotel, logistik, dan restoran, akan mendapat manfaat, terutamanya rakyat Sabah," katanya sewaktu ditemui media pada majlis makan tengah hari sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 di Kota Kinabalu pada Selasa.

Tambahnya, sasaran baharu ini merupakan peningkatan ketara berbanding jumlah ketibaan pelancong sebelum ini, sambil menyifatkannya sebagai realistik meskipun mencabar.

Sebelum ini, AirAsia telah mengumumkan rancangan untuk menerbangkan 5 juta penumpang ke Sabah menjelang tahun 2025, dengan matlamat memacu pertumbuhan sektor pelancongan di negeri ini.

Syarikat penerbangan tambang murah itu, yang telah memulakan kerjasama strategik dengan kerajaan Sabah, melihat potensi besar Sabah untuk menjadi destinasi pelancongan utama di Asia Tenggara.

Sasaran ini dijangka bukan sahaja memberi impak besar kepada sektor pelancongan tetapi juga merangsang sektor lain seperti pengangkutan, perhotelan, dan peruncitan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama