Penemuan bom Perang Dunia Kedua: Pulau Sibuan bakal dibuka semula 15 Januari


Pulau Sibuan - ihsan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS

KOTA KINABALU: Pulau Sibuan bakal dibuka semula kepada pelancong pada 15 Januari (esok) setelah ia ditutup pada 7 Januari lalu susulan penemuan objek disyaki bom Perang Dunia Kedua, baru-baru ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Datuk Seri Christina Liew berkata pembukaan semula pulau itu selepas polis, pasukan keselamatan dan Taman-Taman Sabah (TTS) selesai membuat kerja pembersihan dan penggumpulan sisa bom. 

Sebelum ini, dilaporkan penutupan sementara pulau terbabit bermula apabila dua orang pengawal pantai TTA yang bertugas di Pulau Sibuan menjumpai objek yang menyerupai sebutir bom lama ketika melakukan aktiviti pemantauan dan pembersihan kawasan.

Objek yang telah dikenalpasti sebagai bom lama atau ’unexploded ordnance’ (UXO) telah berjaya dimusnahkan oleh penyelam ranjau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 11 Januari jam 3.10 petang.

"Tujuan pihak TTS bertindak menutup sementara Pulau Sibuan daripada sebarang aktiviti pelancongan serta-merta adalah untuk memastikan keselamatan pelawat dan staf yang bertugas di pulau tersebut terjamin.

"Walau bagaimanapun aktiviti pelancongan di pulau-pulau lain di Taman Marin Tun Sakaran (TMTS) seperti Pulau Bohey Dulang dan Pulau Mantabuan berjalan seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama