Penduduk Kampung Likas Lama mohon penangguhan notis perpindahan

 

Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Darau, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi (Tengah) bersama penduduk Kampung Likas Lama

KOTA KINABALU – Lebih 100 penduduk di Kampung Likas Lama merayu kepada pihak kerajaan agar menarik semula notis pengosongan dalam tempoh 14 hari yang dikeluarkan pada Isnin, semalam.

Notis tersebut dikeluarkan bagi memberi laluan kepada projek tebatan dan pelebaran sungai untuk mengatasi masalah banjir di kawasan itu.

Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Darau, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi, turut tampil memberikan pandangan mengenai isu ini selepas menerima laporan dan aduan daripada penduduk kampung.

"Saya telah berjumpa dengan YAB Ketua Menteri, dan arahan sudah dikeluarkan untuk menangguhkan proses perpindahan sehingga penyelesaian dicapai," katanya.

Razali menjelaskan bahawa projek tebatan banjir dan pelebaran sungai merupakan punca keperluan perpindahan ini. Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penangguhan perlu dilaksanakan sehingga penyelesaian yang adil dapat dicapai.

"Punca adalah melalui proses pembesaran sungai dan tebatan banjir, penangguhan ini adalah sehingga ada penyelesaian daripada pihak kerajaan negeri," tambahnya.

Sebagai langkah proaktif, beliau memaklumkan bahawa satu jawatankuasa khas akan dibentuk untuk menguruskan isu ini secara menyeluruh.

"Kita akan bentuk satu jawatankuasa khusus khas untuk mengurus masalah ini," jelasnya.

Selain itu, Razali juga meluahkan keprihatinan peribadinya terhadap situasi yang dihadapi penduduk Kampung Likas Lama.

"Sebagai anak jati Kampung Likas Lama, saya memahami kesukaran mereka. Penyelesaian terbaik perlu dicapai untuk penduduk dan kerajaan negeri," katanya.

Beliau berharap penyelesaian terbaik dapat dicapai, bukan sahaja untuk kebajikan penduduk tetapi juga demi kepentingan pembangunan negeri.

Langkah ini diharap dapat mencapai jalan penyelesaian yang seimbang antara keperluan pembangunan dan kebajikan komuniti setempat.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama