Lelaki tipu pelaburan, kena cekup di Tawau

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin. Foto | Ihsan PDRM.

TAWAU : Selepas lebih setahun diburu polis, seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes penipuan pelaburan membabitkan kerugian mencecah RM407,500.00 di Serdang, Selangor, akhirnya berjaya ditangkap di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil maklumat dan risikan suspek berumur 46 tahun itu ditahan menerusi operasi khas oleh sepasukan polis dari Strike Team, Balai Polis Tawau di kawasan taman perumahan di Batu 3, Jalan Apas, kira-kira jam 11.10 malam.

Menurutnya, suspek lelaki tempatan itu sebelum ini disyaki memperdaya seorang pegawai pemasaran dengan menawarkan pelaburan yang menjanjikan pulangan bulanan sebanyak lima  peratus serta faedah berganda (compounding interest).

"Tangkapan keatas lelaki terbabit kerana disyaki terlibat dengan kes yang sedang disiasat bersabit laporan dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, pada 1 Disember 2023.

"Kesalahan berkaitan penipuan pelaburan membabitkan kerugian mencecah RM407,500.00 yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jasmin berkata, polis tidak menolak kemungkinan suspek terlibat dalam kes-kes penipuan lain dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian kegiatan jenayah yang didalangi individu terbabit.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada selain tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran termasuk skim pelaburan atau urusan yang mencurigakan. 

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini atau jenayah lain boleh menyalurkan maklumat kepada IPD Tawau di talian 089-772121 atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP)," katanya.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama