![]() |
James sewaktu melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Ranau, di Kota Marudu pada Khamis petang. |
KOTA MARUDU – Situasi banjir di Kota Marudu terus mendapat perhatian dari kerajaan negeri dan persekutuan dengan menggerakkan pelbagai bentuk bantuan bagi memastikan kebajikan mangsa terpelihara.
Setakat ini, enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib turun padang bersama jabatan serta agensi berkaitan bagi meninjau keadaan mangsa dan menyalurkan bantuan.
Dua PPS yang dilawati beliau iaitu SK Ranau, yang menempatkan 143 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan 502 penduduk terjejas, dan SM Adventist Goshan, yang menempatkan 131 KIR dengan 336 penduduk terjejas.
"Hari ini saya telah membawa semua pengarah jabatan dan agensi berkaitan, sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan, bagi menggerakkan aset serta bantuan kepada mangsa banjir," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu ditemui media semasa melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Ranau, di Kota Marudu pada Khamis petang.
James turut memberi jaminan bahawa bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi sepanjang tempoh pemindahan.
Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menyalurkan bantuan wang ihsan sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga yang terjejas, berdasarkan senarai yang dikemukakan oleh Pegawai Daerah.
"Sekiranya masih ada penduduk yang perlu dipindahkan, kita bersedia membuka PPS tambahan. Pihak berkuasa termasuk polis, pegawai daerah dan pemimpin tempatan turut bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan bagi menjamin keselamatan penduduk," tambahnya.
Orang ramai dinasihatkan untuk terus berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa menerusi saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi banjir di daerah ini.