LAHAD DATU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) tahan dua warga Filipina disyaki seludup 580,000 batang rokok dan 440 bungkus tembakau bernilai RM872,000 di Kampung Bakau, di sini, semalam.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, pihaknya menerima maklumat awam berkaitan aktiviti penyeludupan rokok di kawasan koloni setinggan atas air di daerah ini.
Katanya, tindakan pantas pasukan ESSCOM berjaya menahan seorang lelaki dan wanita warga Filipina disyaki aktif dalam aktiviti penyeludupan rokok di sekitar daerah ini.
“Pemeriksaan ke atas rumah suspek menemui 580,000 batang rokok putih pelbagai jenis serta 440 bungkusan kecil tembakau bernilai RM871,854.40 selepas cukai yang disembunyikan dalam kotak.
“Turut dirampas sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan tiga buah bot beserta enjin dianggarkan bernilai RM62,000,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.
Menurutnya, secara keseluruhannya, barang kes (ekshibit) yang dirampas dalam operasi ini dianggarkan berjumlah RM933,854.40.
“Kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala siasatan kes penyeludupan pula di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Victor menegaskan ESSCOM sentiasa memantau dan akan terus memperhebat operasi-operasi khas di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).
“Ia bagi menjejak anasir asing serta mengekang sebarang elemen yang boleh mengganggu-gugat keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan awam khususnya di pantai Timur Sabah.
“Saya amat mengalu-alukan kerjasama orang awam melaporkan terus sebarang maklumat, aktiviti dan insiden mencurigakan ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072 agar kesejahteraan di ESSZONE dapat terus diperkasa,” katanya.